いらっしゃいませ :)

いらっしゃいませ。 :)
good looking blogworms
Sila tinggalkan link anda di chatbox, ya? Terima Kasih. :)

Friday, October 11, 2013

Misteri Lebah Madu

Assalamualaikum..

Angin di malam hari terasa begitu dingin. Hal ini membuatkan aku berasa untuk membuka jendela kerana cuaca yang panas membuatkan malam juga terasa panas. Walaupun kipas berpusing di tahap maksimanya, jikalau tersalah posisi baring pasti akan menyebabkan peluh. Sedang aku duduk menghadap komputer riba di meja, seekor lebah masuk lalu terbang ke arah lampu. Ia menghinggap seperti berehat sebentar akibat letih berterbang. Akan tetapi tidak aku hiraukan lebah itu kerana mungkin ia akan terbang keluar bak kata pepatah yang aku cipta sendiri, pandai masuk, pandai la keluar.

Keesokan malamnya, juga aku buka jendela agar angin dingin malam masuk ke bilikku bagi menurunkan suhu bilik walaupun sedikit. Sedang ralit aku melihat news feed facebook ku, aku berasa ada sesuatu yang terbang dari tingkap. Lalu aku pun menoleh ke arah tingkap, namun tiada apa-apa yang mencurigakan. Alangkah terkejutnya apabila aku menoleh ke atas, 4 hingga 5 ekor lebah berterbangan berdekatan lampu. Pelbagai persoalan bermain dalam fikiranku. Antaranya ialah ;

"Mai mana lebah ni?"

"Dalam bilik aku ni ada sarang lebah ka?"

"Eh, lebah ni macam kekatu jugak ka? Macam suka kat lampu jaa"

"Lebah ni nak buat sarang dalam bilik aku ka? Boleh dapat madu free la macam ni."

Dalam pada itu, jantungku berdegup kencang kerana takut jikalau lebah itu menyerangku. Jadi aku mengambil keputusan untuk menentang lebah lebah tersebut dari mengambil alih bilikku. Terus aku capai penyapu tanpa berfikir panjang. Untung penyapu yang aku beli itu kayu pemegangnya panjang. Jika tidak, aku harus berdiri di atas kerusi kerana ketinggian aku yang tidak berapa memuaskan, bimbang juga nanti jatuh dari kerusi. Aku cuba mengganggu lebah-lebah itu supaya mereka terbang lebih rendah untuk memudahkan aku membunuh mereka. Percubaan pertama, aku berjaya membunuh satu daripada mereka dengan 5 kali 'ketukan'*. Yeah! 

Percubaan kedua agak buruk kerana aku tersalah menghayunkan penyapu sehingga menjatuhkan barang yang di atas rak almariku. Tambahan lagi, seekor daripada mereka terbang ke arahku seperti ingin menyerangku dan hal ini membuatkan aku menjerit tanpa keinginan aku sendiri. Disebabkan aku menjerit, 2 orang teman serumahku, yang sedang melayan 'mood tidur'  keluar dari bilik untuk melihat apa yang telah berlaku. Dengan adanya mereka membuatkan aku bertambah semangat dan berani untuk menghadapi sang lebah-lebah yang cuba untuk menakluk bilikku. 

"Go go Yana, bunuh lebah tu," mereka memberiku kata-kata semangat.

Percubaan ketiga membuatkan aku berjaya membunuh seekor lagi lebah. Percubaan seterusnya, seekor lebah terbang lagi ke arah aku dan membuatkan aku menjerit sekali lagi dan diikuti 2 orang temanku. Aku berlari keluar dari bilik, manakala mereka berdua lari masuk ke dalam bilik masing-masing dan terus menutup pintu.

"Wey jahatttttt! Tinggai aku sorang-sorang!" ucapku. Mereka keluar dari bilik dan ternampak salah satu lebah yang telah aku bunuh masih bergerak.

"Yanaaaaa, lebah tu hidup lagiii!! 'Ketuk' lagiii!" sambil dia menunjukkan ke arah lebah tersebut.

Dengan pantas, aku menambah lagi 5 'ketukan' kepada lebah tersebut. Aku kini dapat membayangkan diri aku sebagai pembunuh bersiri yang gila. Begitulah adengan yang berlaku pada percubaan seterusnya. Apabila aku menjerit, mereka akan ikut menjerit. Apabila aku berlari keluar dari bilik, mereka akan masuk ke bilik mereka dan menutup pintu tinggalkan aku sendirian di ruang tamu. Begitulah cara mereka menolongku.

"Okey wehh, terima kasih sebab tolong aku menjerit tadi," ucapku sambil ketawa. Akhirnya, kesemua lebah berjaya dibunuh. Aku menjenguk di luar jendela mencari-cari sarang lebah oleh sebab banyak lebah yang terbang masuk ke bilikku. Malangnya, tiada. Apa yang menjadi misteri, dari mana datangnya lebah-lebah tersebut? Jeng jeng jeng.....

*Istilah lain bagi 'ketukan' adalah tikaman.

PS : Nasib baik lebah tak ada darah. Kalau tidak, pasti bilikku dipenuhi cecair pekat yang berwarna merah.

Tuesday, July 9, 2013

Lapar

Assalamualaikum~
Wajib berkulat
Pada setiap hujung minggu, salah satu yang telah menjadi rutin harian aku ialah lapar. Tambah pula bukan jenis aku suka menyimpan stok makanan ringan kerana aku tidak berapa suka makanan ringan. Sudah banyak kali terjadinya kes yang mana makanan yang aku beli dari awal semester tidak akan aku sentuh melainkan sudah habis semester. Hal ini kerana jika makanan tersebut masih berkeadaan baik(belum tamat tempoh), akan aku berikan kepada makcik aku. Roti yang aku beli pula, wajib berkulat dek langsung tak dimakan ataupun tak habis dimakan. Oleh itu, aku sanggup berlapar demi tidak membazir.

Sedang aku berlapar, tiba-tiba ada satu mesej masuk. Aku terus mencapai telefon bimbitku dengan cepat. Siapa tahu kalau 'orang spesial' yang hantar mesej tersebut. Rupa-rupanya bukan, isteri kepada kawan ayah aku atau lebih dikenali sebagai Maktam yang menghantar mesej tersebut. Mesej kami adalah seperti di bawah :

"Dok buat apa? Adik hang balik U dah ka? Maktam mesej tak balas pun."

"Dia masuk bulan 9. Dok main game kot dia."

"Oi lama lagi la. Nak tanya dia, musim durian ni. Tak mau buat durian crepe ka?"

Chuppp, tidak aku mahu sambung lagi mesej kami. Cukup sampai di situ kerana mesej terakhir yang aku tulis di atas merupakan kunci utama untuk entri kali ini. Aku yang berada jauh beratus kilometer dari rumah ditanya tentang adik aku yang berada di rumah. Bukan itu sahaja, soalan yang nak ditanya kepada adik aku dibocorkan kepada aku pula. Tidak mengapa jika soalannya tidak berkaitan dengan makanan ataupun berkaitan dengan makanan tetapi makanan itu tidak sedap. Tetapi, itu durian crepe. Durian yang sangat sedap. Semakin terbayang-bayang durian crepe di fikiran aku, semakin aku bertambah lapar. Sepertinya air liur dah boleh jatuh.

Oh, setiap kali aku berlapar pasti ada yang akan membuat aku bertambah lapar, lapar dan lapar. Tak kurang juga Facebook, Twitter dan juga 'blogwalking'. Ter'blogwalking' pula blog yang sememangnya updatenya tentang makanan contohnya blog Cik Yuyu. Sedapnya dia masak. T-T

PS : Eh esok puasa. Selamat menyambut Ramadhan :D

Sunday, July 7, 2013

Hantu (Kisah Benar)

Assalamualaikum~

Bayangan
Jam telahpun menunjukkan pukul 12.00 pagi. Aku bersama 2 orang teman sedang belajar untuk menghadapi ujian yang akan datang pada keesokan harinya di rumah salah seorang daripada mereka. Sedang khusyuk mentelaah dengan menjawab soalan ujian yang lepas, seorang teman ku ini menguap-nguap tanda mengantuk. Mana tidaknya, jarum pendek jam sudahpun melepasi nombor yang paling atas sekali.

Pada satu saat, dia sudah tidak boleh tahan lagi rasa mengantuknya. Jadi dia mengambil keputusan untuk pulang. Aku sambil melihat jam, berkata kepada teman ku, "Wey, hang balik tu naik lif ka turun tangga?"

"Aku turun lif la," dia balas.

"Oh, kalau aku turun tangga. Naik lif seram la."

"Apa pulak? turun tangga la seram."

"Lif la seram, hang tau dak lif tu gila?"

"Hah, betul ke?"

"Betoi la, aku dah pernah kena. Lif tu kadang-kadang dia tak pi kat tingkat yang kita pilih. Kadang-kadang tu dia pi tingkat yang dia mau ja. Gila seram wey, dah tengah-tengah malam macam ni pulak."

"Oh, kau tau tak turun tangga tu lagi seram? Cuba kalau tengah kau turun tangga tu kau nampak 'benda' tu. Lagi seram."

"Wey, hang ni dok bagi aku takut pasai pa? Lif tu lagi seram, kalau hang nampak apa-apa pun, tak boleh lari la."

"Eh, kalau la yang bagi aku takut dulu. Yang kau cerita pasal lif tu apa?"

"Ish hang ni, aku selalu turun tangga dah jadi takut nak turun. Bagi aku takut pulak."

Teman aku yang telah diselubungi ketakutan membatalkan hasratnya yang ingin pulang. Aku yang tadinya berani, kini menjadi takut untuk pulang sendiri. Oleh sebab aku telahpun membayangkan apa yang dia beritahu, aku mengambil keputusan untuk cepat-cepat habiskan  membandingkan jawapan soalan ujian lepas supaya aku boleh pulang bersama teman aku yang ketakutan. Bayangan perempuan berambut panjang memakai baju putih yang lusuh sedang menunggu di atas dan di bawah tangga bermain-main di fikiran aku. Seram.

Setelah selesai membandingkan jawapan, kami segera pulang. Antara tangga dan lif, kami memilih lif kerana lebih cepat. Lagipula kami sekarang berdua, kalau ketakutan berlaku atau perkara yang menyeramkan, perasaan itu kami kongsi bersama. Ketika hampir sampai ke blok 1, kami terlihat masih ada orang di tingkat bawah. Jadi teman aku mencadangkan supaya kami berjalan perlahan-lahan supaya sempat orang itu naik lif bersama kami.

Aku berasa lega kerana tingkat aku lebih bawah dari tingkatnya. Hal ini kerana jika aku naik lif bersama dia, dia akan bersama aku sehingga aku keluar dari lif. Apabila kami naik lif bersama orang yang kami lihat sebentar tadi, terus mata kami memerhati tingkat yang ditekannya. Nampak perasaan lega di muka teman aku itu kerana tingkat yang dipilih orang itu lebih tinggi dari tingkatnya. Kami masing-masing melihat muka sambil bergelak-tawa dengan perasaan lega.

Tamat

PS : Ada sedikit unsur tokok tambah dengan alasan lupa.

Moral : Janganlah cuba takut-takutkan orang lain kerana hal ini hanya akan membuat diri anda akan diselubungi ketakutan selain orang yang ditakutkan itu.

Saturday, July 6, 2013

Permulaan baru

Assalamualaikum~

Aku sudah lama berada di hadapan komputer riba. Oleh sebab kebosanan yang melanda terlalu besar akibat 'stuck' di Candy Crush Saga,aku  mengambil keputusan untuk membelek-belek blog aku yang telah lama bersarang. Ya, bersarang tanpa ada hidupan yang menetap. Sambil meminum air Milo kotak, aku melihat entri-entri lama ku. Oh begitu pelik sekali gaya penulisan aku. Baru sekarang aku sedar. Mungkin air Milo yang begitu sedap membuat aku tersedar.

Gambaran yang sedang bermain di fikiran
Dalam pada itu, aku telah membandingkan entri aku dengan entri orang lain. Begitu ketara sekali perbandingan yang telah aku buat. Tampak sekali entri aku yang begitu comot dan tidak menarik untuk dibaca orang. Tiba-tiba perasaan yang negatif datang memeluk ku. Perasaan cemburu melihat blog orang lain begitu menarik. Untuk membuatkan perasaan negatif ini menjadi positif, aku bercadang untuk sambung menulis. Oleh sebab itu sekarang aku sedang menulis entri yang belum habis(dah nama pun tengah menulis).

Akan tetapi, aku terhenti menulis. Tidak tahu apa yang mahu ditulis lagi. Ini menunjukkan idea menulis telah pun habis, Nampaknya sudah tiba masa untuk mengakhirkan entri ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

PS : Semoga berpanjangan.